Tajuk: Animasi dengan Scratch
Genius Corner Siri 21
Oleh: Fariz Gaskin

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Scratch bahagian ke-enam. Kali ini, kita akan belajar membina sebuah games yang membolehkan pemain melantunkan salji yang jatuh ke bawah, dan mengumpul mata setiap kali lantunan berjaya dilakukan.

Sempena Syawal yang bakal menjelma, anggota redaksi Genius Corner ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun segala salah silap kami sepanjang ruangan ini diterbitkan.

Pada pembaca yang ingin mengumpul artikel Genius Corner yang terdahulu, anda boleh langgani perkhidmatan ePaper Utusan Online yang boleh dibaca melalui laman web atau aplikasi telefon pintar Android dan iOS.

Untuk pengetahuan pembaca juga, terdapat versi Scratch yang boleh dimuat turun dan install ke dalam komputer. Versi ini membolehkan anda membuat latihan tanpa menggunakan talian internet.

Di dalam latihan kali ini, kita akan menggunakan dua Sprite (watak), sama seperti latihan Scratch terdahulu di dalam Genius Corner siri ke-17. Untuk memudahkan lagi latihan, beberapa langkah di dalam latihan kali ini dikekalkan sama seperti latihan yang lalu.

Tanpa membuang masa, mari kita teruskan dengan latihan minggu ini.

Latihan

Langkah 1: Layari laman web https://scratch.mit.edu dan klik Try It Out untuk bermula

Langkah 2: Pilih costume baru untuk Sprite 1. Sebagai contoh, gunakan salah satu imej kereta yang disediakan


Rajah 1: Costume baru untuk Sprite1

Langkah 3: Hasilkan sebuah pembolehubah baru dan namakannya ‘Score’


Rajah 2: Pembolehubah Score

Langkah 4: Susun kod aturcara berikut untuk Sprite 1. Terdapat 3 blok berasingan semuanya.


Rajah 3: Blok aturcara Sprite1

Langkah 5: Hasilkan sprite baru menggunakan menu Sprites di bawah ruangan paparan hasil kerja. Pilih imej Snowflake dari library yang disediakan


Rajah 4: Sprite baru
Langkah 6: Klik pada sprite Snowflake untuk mengaktifkan ruang editornya dan susun kod aturcara berikut untuk Snowflake.


Rajah 5: Blok aturcara Snowflake

Langkah 7: Klik ikon bendera hijau untuk melihat hasilnya


Rajah 6: Hasil game lantun salji menggunakan kereta

Pelajar SK Datuk Keramat 2 sedang mengikuti bengkel Scratch TMK

Semakan

Di dalam latihan tadi, kita telah menghasilkan dua sprite (watak) utama yang melaksanakan arahan berbeza apabila kod aturcara Scratch diaktifkan. Di dalam kod aturcara Sprite1, blok pertama bertindak mengecilkan saiz kereta agar sesuai dengan paparan, serta menetapkan nilai markah di permulaan game kepada sifar (0).

Blok aturcara kedua pula mengarahkan Sprite1 bergerak ke kiri 10 piksel apabila bebutang kiri pada papan kekunci ditekan. Untuk blok aturcara ketiga, Sprite1 diarahkan bergerak ke kanan 10 piksel apabila bebutang kanan pada papan kekunci ditekan.

Untuk sprite Snowflake pula, baris aturcara motion (biru) pertama akan memilih kedudukan x dan y secara rawak untuk menjana benih salji yang akan dilantunkan. Di dalam gelungan repeat (kuning), nilai kedudukan salji diubah 3 piksel setiap detik bagi mewujudkan ilusi pergerakan salji jatuh. Salji juga akan dilantunkan jika tersentuh dinding pada baris aturcara motion (biru) “if on edge, bounce”.

Setiap kali salji bersentuhan dengan Sprite1, nilai 1 akan ditambah kepada score dan nilai kedudukan x yang baru untuk salji akan dipilih secara rawak. Perubahan kedudukan inilah yang menjadikan permainan ini menarik dan mencabar.

Akhir sekali, game akan ditamatkan jika salji jatuh ke lantai.

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

Mainkan audio setiap kali salji bersentuhan dengan Sprite1
Ubah imej latarbelakang games supaya lebih ceria
Ubah kod aturcara supaya Sprite1 bergerak lebih laju

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emelkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Akhirkata, kami ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca yang beragama Islam.