Pewarisan dalam Java - Genius Corner siri 15

Tajuk: Pewarisan di dalam Java
Genius Corner Siri 15
Oleh: Fariz Gaskin

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Java bahagian keempat. Kali ini, kita akan belajar mengenai kaedah pewarisan di dalam Java.

Pewarisan atau Inheritance merupakan proses mewariskan sifat-sifat sesebuah class kepada class yang lain. Kelas yang mewarisi sifat dari kelas lain dikenali sebagai subclass atau child, manakala kelas yang mewariskan sifatnya dikenali sebagai base class atau parent. Kaedah ini membolehkan kod aturcara disusun rapi dan dibahagikan ke dalam beberapa fail dan kumpulan berbeza secara teratur.

Sebagai contoh, anda mempunyai kelas objek utama bernama “kenderaan darat”. Antara sifat kenderaan darat termasuklah tayar, brek, tingkap dan kerusi. Kemudian anda mewariskan sifat kenderaan darat tadi kepada kelas baru “kereta” dan “lori”.

Walau kedua-dua subclass tadi berbeza dari segi saiz dan penggunaan, namun kedua-duanya mewarisi sifat-sifat utama kenderaan darat iaitu memiliki tayar, kerusi dan sebagainya. Kaedah pewarisan ini dapat mengelakkan pengaturcara dari menaip kod yang sama berulang kali.

Pelajar SK Seri Bintang Selatan, Kuala Lumpur sedang menyiapkan latihan

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

Latihan

Langkah 1: Layari laman web https://www.compilejava.net dan tuliskan kod aturcara berikut di dalam ruangan editor.

class Calculation {
  int z;
  public void addition(int x, int y) {
     z = x + y;
     System.out.println("The sum of the given numbers:"+z);
  }
  public void Subtraction(int x, int y) {
     z = x - y;
     System.out.println("The difference between the given numbers:"+z);
  }
}
public class My_Calculation extends Calculation {
  public void multiplication(int x, int y) {
     z = x * y;
     System.out.println("The product of the given numbers:"+z);
  }
  public static void main(String args[]) {
     int a = 20, b = 10;
     My_Calculation demo = new My_Calculation();
     demo.addition(a, b);
     demo.Subtraction(a, b);
     demo.multiplication(a, b);
  }
}

Langkah 2: Klik butang COMPILE & EXECUTE untuk melihat hasilnya.

Semakan

Di dalam kod aturcara tadi, kita telah menghasilkan sebuah class bernama Calculation. Kelas tadi memiliki dua function iaitu addition() untuk menghantar hasil tambah dua nombor, dan subtraction() untuk menghantar hasil tolak dua nombor.

Seterusnya kita telah menghasilkan subclass My_Calculation yang mewarisi Calculation melalui arahan “extends”. Kelas baru My_Calculation tadi memiliki function sendiri bernama multiplication() untuk menghantar hasil darab dua nombor.

Kemudian di dalam constructor main() milik My_Calculation, sebuah objek bernama demo telah dihasilkan bagi mewakili subclass terbabit. Melalui objek demo, arahan dihantar kepada addition(), subtraction() dan multiplication() untuk memulangkan hasil tambah, tolak dan darab dua nombor yang diberi.

Dengan itu, pengaturcara tidak perlu menulis kod aturcara operasi tambah dan tolak secara berulang kali setiap kali sebuah fail baru dicipta.

Kaedah yang sama diguna dalam pengaturcaraan Android. Kelas yang dihasilkan oleh pengaturcara akan mewarisi sifat class Activity atau AppCompatActivity. Pewarisan ini membolehkan fail tadi menggunakan semua library yang ada dalam simpanan telefon pintar Android.

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

  • Hasilkan subclass baru untuk operasi pembahagian
  • Ubah nilai pembolehubah a dan b untuk memulangkan hasil darab 100
  • Ubahsuai kod addition() untuk menambah hasil tiga nombor

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emelkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *