Jom Belajar PHP - Genius Corner Siri 12

Tajuk: Syarat di dalam Php
Genius Corner Siri 12
Oleh: Fariz Gaskin

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Php bahagian ketiga. Kali ini, kita akan pelajari komponen penting dalam mana-mana bahasa pengaturcaraan, iaitu kondisi syarat if..else dan switch.

Di dalam matapelajaran matematik, konsep ini dikenali sebagai implikasi, dalam bentuk “jika p maka q” di mana penyataan p menunjukkan antekejadian dan penyataan q menunjukkan akibat. Secara ringkasnya, “jika siang maka terang”.

Kondisi syarat digunakan untuk membantu sesebuah aturcara membuat keputusan atau pilihan. Sebagai contoh, jika siang maka papar selamat siang; sebaliknya papar selamat malam. Pemilihan dalam penggunaan if..else atau switch adalah mudah.

Jika hanya terdapat satu pilihan, maka if akan digunakan. Jika terdapat dua pilihan, maka if..else akan diguna. Jika terdapat tiga pilihan, if..elseif..else akan diguna. Jika jumlah pilihan terlalu besar, barulah switch digunakan.

Penguasaan kondisi syarat adalah penting dalam menentukan saiz kod aturcara yang akan diguna di dalam sesebuah fail aturcara. Lebih banyak atau panjang kod aturcara yang ditulis, semakin berat dan besarlah aplikasi yang terhasil. Oleh itu, pengaturcara biasanya amat berhati-hati dalam memilih kod aturcara yang ingin diguna.

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

Latihan

Langkah 1: Layari lama web http://phpfiddle.org dan klik butang Code-Space

Langkah 2: Masukkan kod berikut di ruangan yang disediakan

<?php
   //kondisi if
   $t = date("H");
   echo "<p>The hour (of the server) is " . $t;
   echo ", and will give the following message:</p>";
   if ($t < "10") {
    echo "Have a good morning!";
   } elseif ($t < "20") {
    echo "Have a good day!";
   } else {
    echo "Have a good night!";
  }
  echo "<br>";
  //kondisi switch
  $favcolor = "red";
  switch ($favcolor) {
   case "red":
       echo "Your favorite color is red!";
       break;
   case "blue":
       echo "Your favorite color is blue!";
       break;
   case "green":
       echo "Your favorite color is green!";
       break;
   default:
       echo "Your favorite color is neither red, blue, nor green!";
  }
?>

Langkah 3: Klik butang Run untuk melihat hasil seperti berikut

Semakan

Di dalam blok kondisi if, kita telah memanggil fungsi date() bagi memenuhi syarat mencetak ucapan salam. Jika jam (H) kurang dari 10, maka cetak “have a good morning”. Jika jam lebih besar dari 10 tetapi lebih kecil dari 20, maka cetak “have a good day”. Jika jam tidak memenuhi kedua-dua syarat, maka cetak “have a good night”.

Di dalam blok kondisi switch pula, pembolehubah favcolor diguna untuk memenuhi syarat mencetak ayat. Jika nilai yang diterima ialah “red”, maka cetak “your favorite color is red”. Melalui contoh ini, terdapat empat nilai yang dijangka iaitu red, blue, green atau default.

Di dalam kondisi switch, default merupakan nilai yang diguna jika tiada sebarang nilai memenuhi syarat yang ditetapkan. Ia boleh diberi nilai universal seperti “carian anda tidak memulangkan sebarang hasil”.

Jika dibandingkan dari kedua-dua blok aturcara kondisi if dan switch, adalah lebih baik jika switch dipilih untuk menerima syarat yang pelbagai. Jika if dipilih, jumlah sintaks yang ditulis menjadi lebih banyak dan menyebabkan keseluruhan aturcara lebih besar dan lebih berat. Aturcara yang berat pastinya menggunakan pemprosesan dan bateri yang lebih banyak.

Pelajar SK Convent Bukit Nanas 2 bersama koleksi artikel Genius Corner mereka

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

  • Ubah kod aturcara if supaya memapar ucapan pagi, tengahari dan petang sahaja
  • Ubah kod aturcara switch supaya menerima nilai dari 7 warna berbeza
  • Ubah kod aturcara if supaya memapar 7 ucapan berbeza di dalam sehari

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emailkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *