Gelung di dalam Php - Genius Corner siri 16

Tajuk: Gelung di dalam Php
Genius Corner Siri 16
Oleh: Fariz Gaskin

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Kita bertemu kembali di dalam ruangan Genius Corner kali ini. Tinjauan kami sekitar semenanjung tanahair baru-baru ini mendapati, ruangan ini semakin mendapat tempat di hati pembaca terutamanya guru sekolah rendah, serta pensyarah kolej dan politeknik.

Para guru dan pensyarah telah mula menggalakkan pelajar sekolah dan kolej untuk mendapatkan kod aturcara melalui ruangan ini sebagai rujukan tambahan kepada subjek pengaturcaraan yang sedang dipelajari.

Selain ringkas dan mudah difahami, artikel ini juga boleh diperolehi di mana-mana stesen minyak, kedai buku serta pasaraya dengan harga yang sangat murah. Terima kasih kami ucapkan atas sokongan dan kerjasama yang diterima dari pembaca sekalian.

Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Php bahagian ke-empat. Kali ini, kita akan pelajari komponen yang tidak kurang pentingnya di dalam mana-mana bahasa pengaturcaraan, iaitu gelungan.

Gelungan biasanya digunakan untuk mengulang cetak sesuatu maklumat. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menaip ucapan “Selamat pagi” sebanyak sepuluh kali, memadai dengan menulis ucapan tersebut sekali sahaja dan masukkan di dalam gelung yang diarahkan untuk mengulang cetak sebanyak sepuluh kali.

Melalui kaedah tadi, anda tidak perlu menulis ucapan “Selamat pagi” sebanyak sepuluh kali. Menggunakan gelungan, seseorang pengaturcara boleh menjimatkan banyak masa semasa menaip kod aturcara.

Kebiasaannya, terdapat dua jenis gelungan yang gemar diguna oleh pengaturcara iaitu gelungan “For” dan “While”. Di dalam gelungan For, arahan gelungan dinyatakan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Manakala gelungan While pula menjalankan gelungan terlebih dahulu sebelum syarat dan arahan gelungan dinyatakan pada penghujung kod aturcara. Setiap satu gelungan ini mempunyai kelebihan tersendiri, bergantung kepada jenis output yang ingin dihasilkan.

Terdapat dua variasi untuk setiap jenis gelungan. Bagi gelungan while, terdapat “while” dan “do..while”. Untuk gelungan for pula, terdapat “for” dan “foreach”. Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

Latihan

Langkah 1: Layari lama web http://phpfiddle.org dan klik butang Code-Space

Langkah 2: Masukkan kod berikut di ruangan yang disediakan

<?php
  //while
  $x = 1;
  while($x <= 5) {
    echo "The while number is: $x <br>";
    $x++;
  }
  //do..while
  $x = 1;
  do {
    echo "The do..while number is: $x <br>";
    $x++;
  } while ($x <= 5);
  //for
  for ($i = 0; $i <= 10; $i++) {
   echo "The for number is: $i <br>";
  }
  //foreach
  $colors = array("red", "green", "blue", "yellow");
  foreach ($colors as $value) {
    echo "$value <br>";
  }
?>

Langkah 3: Klik butang Run untuk melihat hasil seperti berikut

Semakan

Melalui gelungan while, sebuah pembolehubah x dengan nilai 1 didaftarkan sebelum gelung. Pada baris pertama gelung pula, nilai jumlah gelung didaftarkan dan gelungan dilaksanakan sekali berdasarkan nilai pembolehubah x tadi. Pada penghujung gelung, nilai x ditambah dan gelungan diteruskan sehingga nilai x bersamaan dengan jumlah gelung yang ditetapkan.

Melalui gelungan do..while pula, pembolehubah x dengan nilai 1 didaftarkan sebelum gelung, kemudian gelungan dijalankan terus sebelum syarat jumlah gelung dinyatakan pada penghujung gelung.

Di dalam gelungan for, nilai pembolehubah pemula, jumlah gelungan serta pertambahan nilai pembolehubah gelung didaftarkan serentak pada awal gelung. Manakala untuk gelungan foreach pula, jumlah gelungan diambil terus dari jumlah data yang ingin dicetak.

Melalui perbandingan setiap gelungan tadi, kebanyakan pengaturcara lebih gemar menggunakan for berbanding while, do..while dan foreach walau foreach mempunyai kod aturcara yang paling ringkas. Hal ini kerana segala syarat gelungan dapat dilihat dengan mudah di dalam baris yang sama, serta gelung for lebih mudah dikawal.

Cikgu SMK Dato Onn bersama projek Scratch dan Mindstorm beliau.

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

  • Ubah kod aturcara while supaya membuat 7 ulangan
  • Ubah kod aturcara for supaya membuat ulangan di dalam ulangan
  • Ubah kod aturcara foreach untuk mencetak nombor gelungan semasa

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emailkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *