Jom Belajar "Superglobals dalam Php" !!! (Genius Corner Siri 20)

Tajuk: Superglobals dalam Php

Genius Corner Siri 20

Oleh: Fariz Gaskin

 

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Kita bertemu kembali di dalam ruangan Genius Corner kali ini. Sepanjang cuti sekolah Ramadan yang lalu, kami menerima beberapa email maklumbalas dari pembaca yang ingin mendapatkan kesemua siri Genius Corner dengan lengkap.

 

Anda boleh mengumpul artikel kami melalui langganan ePaper Utusan Online yang boleh dicapai samada melalui pelayar web, atau melalui aplikasi mobile yang disediakan untuk platform Android dan juga iOS.

 

Pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca yang bersemangat mempelajari ilmu pengaturcaraan samada demi masa hadapan atau sebagai hobi. Kami percaya, di zaman akan datang, kemahiran pengaturcaraan adalah sama penting dengan kemahiran membaca, memandu, berenang dan sebagainya.

 

Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Php bahagian ke-lima. Kali ini, kita akan belajar mengenai komponen Superglobals. Bermula dari Php versi ke-4, pengaturcara tidak lagi dibenarkan menghantar dan menerima data dari satu fail Php ke fail yang lain atas dasar keselamatan.

 

Superglobals merupakan sekumpulan pembolehubah yang disediakan dengan tugas tertentu. Sebagai contoh, $_SERVER digunakan bagi mendapatkan maklumat yang dihantar melalui pelayar web seperti nama fail tersebut, alamat IP, jenis pelayar web, sistem pengoperasian yang sedang diguna dan sebagainya.

 

Superglobal $_GET digunakan untuk mendapatkan maklumat yang dihantar bersama alamat internet, manakala $_POST digunakan untuk mendapatkan maklumat yang dihantar melalui borang. Bagi laman web berkeselamatan tinggi, $_SESSION digunakan untuk mengawal sesi penggunaan yang melibatkan kata laluan.

 

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

 

Latihan

 

Langkah 1: Layari lama web http://phpfiddle.org dan klik butang Code-Space

 

Langkah 2: Masukkan kod berikut di ruangan yang disediakan

 

<!DOCTYPE html>

<html>

<body>

<h2>Borang Maklumat Peribadi</h2>

<form method=”post” action=”<?php echo $_SERVER[‘PHP_SELF’];?>”>

   Nama: <input type=”text” name=”fname”><br>

   Email: <input type=”email” name=”email” required><br>

   Web: <input type=”text” name=”web”><br>

 <input type=”submit”>

</form>

<?php

if ($_SERVER[“REQUEST_METHOD”] == “POST”) {

   // collect value of input field

   $name = $_POST[‘fname’];

   $email = $_POST[’email’];

   $web = $_POST[‘web’];

   

   if (empty($name)) { echo “Name is empty”;

   } else { echo $name . “<br>”; }

   echo $email . “<br>”;

   if (empty($web)) { echo “Website is empty”;

   } else { echo $web; }

}

?>

</body>

</html>

Langkah 3: Klik butang Run untuk melihat hasil seperti berikut

 

Semakan

 

Melalui latihan tadi, kita telah menghasilkan sebuah borang maklumat peribadi yang memerlukan pengunjung mengisi ruangan kosong yang disediakan dengan nama penuh, alamat email serta alamat laman web.

 

Apabila butang submit ditekan, maklumat tadi dihantar kembali kepada fail yang sama melalui arahan $_SERVER[‘PHP_SELF’] di dalam tag <form>. Apabila maklumat diterima, kod aturcara $_SERVER[“REQUEST_METHOD”] digunakan bagi mengenalpasti jenis maklumat samada diterima melalui alamat internet atau melalui borang.

 

Setelah jenis maklumat dikenalpasti, arahan $_POST[‘nama_pembolehubah’] diguna untuk memasukkan nilai yang sesuai kepada pembolehubah $name, $email dan $web. Seterusnya, setiap satu pembolehubah dipapar melalui arahan echo.

 

Jika diteliti, hanya pembolehubah $name dan $web disemak samada kosong atau tidak. Bagi pembolehubah $email pula, arahan ‘required’ telah diletakkan di dalam tag <input> bagi mewajibkan pengguna mengisi ruangan ini. Jika kosong, pengguna tidak dibenarkan klik butang submit.

Pelajar SKSBU sedang mengikuti tuisyen Scratch TMK.

 

Soalan

 

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

 

  1. Tambahkan dua lagi ruangan input untuk nombor telefon dan tarikh lahir
  2. Ubah kod aturcara semakan dari ‘if’ kepada ‘switch’
  3. Masukkan arahan ‘required’ kepada semua ruangan input

 

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emailkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *