Jom Belajar Encapsulation di dalam Java !!! (Genius Corner Siri 23)

Tajuk: Encapsulation di dalam Java

Genius Corner Siri 23

Oleh: Fariz Gaskin

 

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Kita bertemu kembali di dalam ruangan Genius Corner minggu ini, bersama latihan Java bahagian yang ke-enam. Kali ini, kita akan pelajari konsep Encapsulation.

 

Encapsulation merupakan salah satu dari empat asas utama konsep Object Oriented Programming (OOP), termasuklah Abstraction, Polymorphism dan Inheritance yang telah kita pelajari di dalam artikel Genius Corner siri ke-15.

 

Di dalam konsep pengaturcaraan, Encapsulation merupakan kaedah mengumpulkan data (pembolehubah) dan kod aturcara berkaitan data (method) sebagai satu unit. Setiap pembolehubah yang terlibat akan didaftarkan sebagai private dan kaedah public getter dan public setter digunakan untuk membawa data ke sana ke mari.

 

Teknik ini menyebabkan pembolehubah yang didaftarkan di dalam sesebuah kelas, tersembunyi dari kelas yang lain. Dengan ini, maklumat penting dapat dirahsiakan dari pengguna akhir.

 

Selain itu, teknik ini juga membolehkan sesebuah class didaftarkan sebagai read-only atau write-only, meningkatkan lagi keselamatan sesebuah aplikasi.

 

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

 

Latihan

 

Langkah 1: Layari laman web https://www.compilejava.net dan tuliskan kod aturcara berikut di dalam ruangan editor.

 

public class EncapTest {

  private String name;

  private String idNum;

  private int age;

  public int getAge() {

     return age;

  }

  public String getName() {

     return name;

  }

  public String getIdNum() {

     return idNum;

  }

  public void setAge( int newAge) {

     age = newAge;

  }

  public void setName(String newName) {

     name = newName;

  }

  public void setIdNum( String newId) {

     idNum = newId;

  }

}

public class RunEncap {

  public static void main(String args[]) {

     EncapTest encap = new EncapTest();

     encap.setName(“James”);

     encap.setAge(20);

     encap.setIdNum(“12343ms”);

     System.out.print(“Name : ” + encap.getName() + ” Age : ” + encap.getAge());

  }

}

 

Langkah 2: Klik butang COMPILE & EXECUTE untuk melihat hasilnya.

Semakan

 

Di dalam kod aturcara tadi, kita telah menghasilkan dua kelas utama iaitu EncapTest dan RunEncap. EncapTest merupakan kelas yang menyimpan pembolehubah yang akan digunakan sepanjang aturcara berlangsung.

 

Manakala kelas RunEncap pula menghantar data kepada EncapTest untuk diproses lalu dipanggil semula untuk paparan. Method setName(), setAge(), setIdNum dan getName() dan getAge() merupakan getter dan setter yang berfungsi sebagai laluan keluar masuk data antara kelas RunEncap dan EncapTest.

 

Oleh itu, mana-mana kelas lain yang ingin menggunakan algoritma serta formula yang terkandung di dalam EncapTest perlulah menggunakan method getter dan setter ini. Jika tidak, segala isi kandungan EncapTest kekal rahsia dari dunia luar.

Pelajar SK Datuk Keramat 2 sedang mengikuti bengkel Scratch TMK bulanan

 

Soalan

 

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

 

  1. Paparkan Id “James” tadi.
  2. Arahkan getName untuk memaparkan nama dalam huruf besar sahaja.
  3. Tambahkan method-method baru untuk alamat email dan nombor telefon.

 

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emelkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *