Jom Belajar "Animasi dengan Scratch" !!! (Genius Corner Siri 25)

Tajuk: Animasi dengan Scratch
Genius Corner Siri 25
Oleh: Fariz Gaskin

Salam ceria buat semua pembaca budiman. Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan Scratch bahagian ketujuh. Kali ini, kita akan belajar membina beberapa animasi ringkas menggunakan sprite yang berbeza.

Jika dilihat di televisyen atau internet, ramai kanak-kanak yang tertarik dengan animasi Didi, Boboiboy dan Upin Ipin. Oleh itu, kebanyakan pembangun animasi akan memasukkan elemen pembelajaran samada secara langsung atau tidak langsung untuk mendidik para penonton.

Di dalam games pula, objek latar memainkan peranan dalam menceritakan sesebuah babak. Jika games tersebut di padang terbuka, animasi awan, burung dan matahari akan menghidupkan lagi suasana permainan.

Di dalam latihan kali ini, kita akan menggunakan tiga sprite yang akan dianimasikan secara individu dengan pergerakan yang berbeza.

Tanpa membuang masa, mari kita teruskan dengan latihan minggu ini.

Latihan

Langkah 1: Layari laman web https://scratch.mit.edu dan klik Try It Out untuk bermula

Langkah 2: Masukkan tiga sprite baru dari library. Pilih Earth, Star1 dan Spaceship


Rajah 1: Barisan sprite yang akan digunakan

Langkah 3: Susun kod aturcara berikut untuk Sprite 1

Rajah 2: Blok aturcara Sprite1

Langkah 4: Susun kod aturcara berikut untuk Star1


Rajah 3: Blok aturcara Star1

Langkah 5: Letakkan sprite Earth pada sudut atas Scratch

Langkah 6: Susun kod aturcara berikut untuk Spaceship. Apabila bendera hijau ditekan, Spaceship akan bergerak ke arah kedudukan Earth.


Rajah 4: Blok aturcara Spaceship

Langkah 7: Ubah imej latar Scratch dengan imej angkasa lepas.

Langkah 8: Klik ikon bendera hijau untuk melihat hasilnya


Rajah 5: Hasil animasi ringkas untuk sprite yang berbeza

Peserta pertandingan Game Jam 2017 sedang dibantu mentor

Semakan

Di dalam latihan tadi, kita telah memasukkan empat sprite utama yang melaksanakan animasi berbeza apabila kod aturcara Scratch diaktifkan. Di dalam kod aturcara Sprite1, animasi putaran dilakukan secara berterusan menggunakan kod “forever” dan akan melantunkan sprite tadi jika terlanggar sempadan ruang Scratch.

Untuk sprite Star1 pula, saiz sprite dibesarkan dan dikecilkan dengan pantas menggunakan kod “change size”, menjadikan sprite kelihatan seolah-olah sedang berkelip.

Akhir sekali, sprite Spaceship digerakkan ke arah sprite Earth menggunakan kod “point towards Earth”, dengan saiz yang semakin mengecil seolah-olah sedang bergerak menjauhi penonton.

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan. Sila ubahsuai kod aturcara tadi supaya:

Tambahkan lebih banyak Star1
Perlahankan lagi pergerakan Spaceship ke arah Earth
Ubah kod aturcara supaya Sprite1 bergerak lebih laju

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila emelkan kepada farizgaskin@gmail.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *